Pemandangan cerah Pelabuhan Victoria dan latar langit Hong Kong

Perutusan alu-aluan

Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di Kuala Lumpur

Selamat datang ke laman web rasmi Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong di Kuala Lumpur.

Ditubuhkan sebagai Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) ke-15 di luar negara, pejabat kami mewakili Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dengan empat negara yang dinamik iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Laos dan Pakistan.

Hong Kong dan rantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mempunyai sejarah hubungan perdagangan, ekonomi dan hubungan antara rakyat yang kukuh sejak sekian lamanya. ASEAN merupakan rakan dagangan kedua terbesar Hong Kong dalam perdagangan barangan dan ketiga terbesar dalam perdagangan perkhidmatan. Beroperasi di Kuala Lumpur, misi kami memberikan tumpuan kepada beberapa bidang utama, termasuklah mempergiat usaha mempromosikan perdagangan dan pelaburan bagi memperkukuh kedudukan Hong Kong sebagai pusat perdagangan antarabangsa; memainkan peranan sebagai penghubung utama dan pencipta nilai utama bagi membantu perusahan serantau mengembangkan perniagaan ke peringkat global melalui perkhidmatan kewangan dan profesional Hong Kong yang bertaraf tinggi; serta menggalakkan kerjasama dua hala dalam bidang seni, pelancongan dan industri kreatif bagi meningkatkan persefahaman bersama serta mempererat hubungan antara masyarakat.

Sama ada anda seorang usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan ke pasaran Tanah besar China, individual berbakat yang sedang mencari peluang baharu, mahupun pelawat yang ingin menikmati keunikan budaya bandar raya kami, Hong Kong menawarkan ekosistem yang stabil, bebas dan dinamik bagi membantu anda merealisasikan aspirasi.

Kami menjemput anda untuk meneroka laman web kami bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan ekonomi, inisiatif perniagaan dan acara kebudayaan yang dianjurkan oleh pejabat kami. Jangan teragak-agak untuk menghubungi kami bagi mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana kami dapat membantu perjalanan dan usaha anda di Hong Kong.

Potret Encik Owin Fung, Pengarah HKETO Kuala Lumpur