Perjalanan ke Hong Kong
Hong Kong mengalu-alukan pelancong dari seluruh dunia untuk menikmati salah sebuah bandar raya bertaraf dunia di Asia. Terkenal sebagai pusat utama perniagaaan antarabangsa, perdagangan dan pelancongan, Hong Kong menawarkan gabungan unik antara kehidupan bandar yang dinamik, warisan budaya yang kaya serta keindahan landskap semula jadi.
Imigresen & Keperluan Visa
Sebelum membuat tempahan perjalanan, pastikan pasport anda masih sah dan semak syarat kemasukan terkini yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen HKSAR.
Tempoh Sah Pasport: Dokumen perjalanan anda hendaklah mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan selepas tarikh anda dijadualkan berlepas dari Hong Kong.
Kemasukan Tanpa Visa: Warganegara dari kira-kira 170 buah negara dan wilayah boleh mengunjungi Hong Kong tanpa visa bagi tujuan pelancongan atau urusan perniagaan.
Warganegara Malaysia: Rakyat Malaysia menikmati kemudahan kemasukan tanpa visa bagi tempoh sehingga 90 hari.
Warganegara Brunei: Rakyat Brunei menikmati kemudahan kemasukan tanpa visa bagi tempoh sehingga 14 hari.
Visa Diperlukan: Pemegangan pasport Laos dan Pakistan perlu mendapatkan visa yang sah sebelum tiba di HKSAR.
Permohonan eVisa Secara Dalam Talian: Bagi individu yang memerlukan visa lawatan atau mereka yang ingin bekerja, belajar atau menjalankan perniagaan, permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui Perkhidmatan Elektronik Jabatan Imigresen.
Cara ke Hong Kong
Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong merupakan salah satu lapangan terbang yang paling sibuk dan cekap di dunia. Lapangan terbang ini menghubungkan Hong Kong dengan bandar-bandar utama di seluruh Asia Selatan dan dunia melalui penerbangan terus. Terletak di pusat Asia, Hong Kong berada hanya dalam lingkungan lima jam penerbangan dari separuh populasi dunia.
Pengalaman Hong Kong Anda
Rancang jadual perjalanan yang sesuai dengan menggunakan portal rasmi yang dinamik serta menyediakan maklumat terkini mengenai lokasi tarikan tempatan, musim perayaan dan rangkaian pengangkutan.
Terokai lorong-lorong rahsia bersinar neon, nikmati makanan jalanan bertaraf Michelin dan jelajahi laluan pendakian yang menakjubkan menerusi laman sesawang Lembaga Pelancongan Hong Kong. Portal ini boleh menjadi panduan digital interaktif untuk membantu anda menemui pelbagai tarikan menarik dan keistimewaan tersembunyi di bandar raya ini.
Nikmati pengalaman kulinari bertaraf dunia di Hong Kong dengan lebih yakin melalui Panduan Pelancongan Muslim di Hong Kong. Panduan yang disusun khas ini menyediakan maklumat mengenai premis makanan Halal yang diperakui, ruang solat serta pelbagai pengalaman mesra budaya untuk pelancong Muslim.
Kalendar Acara Penerokaan Hong Kong pula membolehkan anda mengetahui pelbagai acara menarik yang berlangsung di bandar raya ini. Daripada pesta seni bertaraf dunia dan acara sukan yang penuh aksi sehingga sambutan bermusim yang meriah, kalendar ini membantu anda merancang perjalanan yang lebih menarik di Hong Kong.
Terokai kemudahan dan infrastruktur bandar dengan mudah serta bergerak seperti penduduk tempatan melalui Portal Melawat Hong Kong GovHK. Portal digital sehenti ini menghubungkan anda secara langsung kepada rangkaian pengangkutan awam, acara kebudayaan serta pelbagai perkhidmatan penting untuk pelancong. Pelawat kerap yang layak juga boleh mendaftar untuk perkhidmatan e-Channel menerusi aplikasi mudah alih ‘Go Hong Kong’ dan menikmati pelepasan imigresen yang lebih pantas. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Jabatan Imigresen Hong Kong.
