Pemandangan waktu siang kaki langit Pulau Hong Kong dari seberang Pelabuhan Victoria

Sekilas Pandang

Asas Perlembagaan dan Tadbir Urus

Ditubuhkan pada 1 Julai 1997, Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Republik Rakyat China berlandaskan Undang-undang Asas (Basic Law) yang menjunjung prinsip ‘Satu Negara, Dua Sistem”. Asas perundangan ini menjamin Hong Kong menikmati tahap autonomi yang tinggi serta mengekalkan kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman yang bebas, termasuk kuasa penghakiman muktamad.

Landskap Ekonomi dan Perdagangan Global

Hong Kong yang terkenal dengan perdagangan bebas, kadar cukai yang rendah serta campur tangan kerajaan yang minimum berkembang sebagai sebuah ekonomi perkhidmatan global yang utama dan pusat perdagangan antarabangsa yang penting. Hong Kong berperanan sebagai pintu masuk utama ke Tanah Besar China, di samping mengekalkan hubungan ekonomi dan kewangan yang kukuh di seluruh rantau Asia-Pasifik. Dengan mata wangnya sendiri, iaitu dolar Hong Kong, ekonomi Hong Kong turut mendapat manfaat daripada tenaga kerja berkemahiran tinggi serta persekitaran pasaran terbuka. Faktor-faktor ini mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah pusat kewangan global yang terkemuka dan lokasi pilihan bagi syarikat multinasional.

Geografi dan Infrastruktur

Hong Kong merangkumi Pulau Hong Kong, Semenanjung Kowloon, Wilayah Baharu serta 261 buah pulau di sekitarnya, termasuklah Pulau Lantau. Di tengah-tengah wilayah ini terletaknya Pelabuhan Victoria, sebuah pelabuhan laut dalam yang terkenal di seluruh dunia dan memainkan peranan penting dalam sektor logistik maritim Hong Kong. Walaupun pembangunan bandarnya sangat padat, kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan kawasan daratan dikekalkan sebagai taman negara dan kawasan semula jadi khas. Kedudukannya yang strategik di bahagian selatan China menjadikan Hong Kong sebahagian daripada Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macao, yang menjadi pemacu kepada integrasi serantau dan pembangunan berkualiti tinggi di Tanah Besar China.

Penduduk, Kepelbagaian dan Bahasa

Hong Kong merupakan sebuah metropolis yang berpenduduk padat. Majoriti penduduknya berketurunan Cina, di samping komuniti antarabangsa yang pelbagai, khususnya dari Asia Tenggara dan Asia Selatan, serta komuniti ekspatriat Barat yang telah lama bertapak. Kepelbagaian budaya ini turut tercermin dalam landskap bahasanya, dengan Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Bahasa Kantonis merupakan bahasa yang paling banyak digunakan dalam kehidupan seharian, manakala bahasa Inggeris digunakan secara meluas dalam sektor kerajaan, perundangan, profesional dan komersial. Penguasaan meluas terhadap tiga bahasa, iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Kantonis dan Putonghua (Mandarin), membolehkan tenaga kerja tempatan berinteraksi secara berkesan dalam dunia perniagaan global serta menjalankan urusan perniagaan merentas sempadan dengan lancar.